Essay: Inilah Model Manajemen Wakafpreneur

Model Pengurusan Wakafpreneur Kontemporari: Kajian Kes Di Institut Wakafpreneur Indonesia
(Management Contemporary of Wakafpreneur Model)

Mohamad Saufee Anuar
Mohd Sollehudin Shuib
Imam Nur Azis
(Waqaf An-Nur Corporation Berhad, Universiti Utara Malaysia, Wakafpreneur Institute )


ABSTRAK

Malaysia sebagai sebuah negara Islam telah melaksanakan pelbagai inisiatif filantrofi Islam. Namun ada lagi sisi filantropi seperti model wakafpreneur belum dikembangkan sepenuhnya di Negara ini. Justeru itu, tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk mengkaji konsep dan model wakafprenuer yang sedia ada dan model baharu yang boleh dicadangkan berdasarkan amalan di negara lain. Model wakafpreneur di Indonesia akan dijadikan asas kajian ini. Wakafpreneur di Indonesia merupakan satu inisiatif pembentukan model wakaf menerusi usahawan. Kaedah temubual digunakan dalam mendapatkan dana utama berkaitan wakafpreneur dan wakaf orporat. Penelitian dokumen turut membantu menguatkan dapatan. Dapatan menunjukkan terdapat tiga jenis model dalam pembentukan ini iaitu wakaf korporat dan wakaf usahawan. Dapatan kajian ini boleh dijadikan rujukan dalam usaha mengembangkan lagi idea wakaf secara bisnes dan keusahawanan pada masa depan.

Kata kunci: wakafpreneur, filantropi Islam, keusahawanan, wakaf

ABSTRACT

Malaysia as an Islamic state has implemented various Islamic phylantrophic initiatives. Yet there are more philanthropic sides such as waqfreneur models not yet fully developed in the country. Therefore, the purpose of this study is to study the concepts and models of existing waqfprenuer and new models that can be proposed based on practices in other countries. Waqfreneur models in Indonesia will be the basis of this study. Wakafpreneur in Indonesia is an initiative to develop waqf models through entrepreneurs. Interview and document observation was used to get the data. The findings showed that there are three types of models in the formation of corporate waqf and waqf entrepreneurs. The findings can be used as a reference in order to further expand the idea of waqf in the future entrepreneurial business.

Keywords: wakafpreneur, Islamic phylantrophic, entrepreneur, waqf


PENGENALAN

Pengurusan wakaf di Malaysia menjadi tumpuan dunia pada hari ini melalui pelbagai inovasi yang dilaksanakan. Hal ini boleh dilihat melalui beberapa langkah dan inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak Kerajaan menerusi Majlis Agama Islam Negeri dan syarikat korporat yang kini selangkah ke hadapan dengan pelbagai instrumen yang telah diperkenalkan. Walaubagaimanapun, mengikut waqi’ di Malaysia semua Majlis Agama Islam Negeri merupakan pemegang amanah tunggal bagi semua urus tadbir wakaf (Abdul Rahim and Goddard, 1998; Latiff et al., 2010; Ismail, Muda dan Hanafiah, 2014) sebagaimana yang telah diperuntukkan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri berdasarkan Jadual Ke-9 Perlembagaan Persekutuan. Namun begitu, saranan untuk melibatkan badan korporat dalam amalan berwakaf ia bukan sesuatu yang baru. Menerusi mekanisme wakaf, badan korporat juga boleh melakukan inisiatif tanggungjawab korporat bagi mengembalikan semula keuntungan syarikat kepada masyarakat dalam beberapa bentuk wakaf yang dicadangkan oleh Mahamood et al., (2007) antaranya adalah wakaf dalam bentuk kompleks atau bangunan, wakaf tunai untuk dana pembangunan dan menjalin kerjasama dengan pihak MAIN atau kerajaan bagi membangunkan projek wakaf. Amuda, (2013) menyatakan bahawa wakaf diletakkan sebagai instrumen yang boleh menjana kekayaan menerusi rangka kerja perniagaan dan keusahawanan.

Di Indonesia, urus tadbir wakaf adalah berbeza dengan waqi’ di Malaysia kerana urus tadbir agama tidak dipecahkan mengikut negeri atau daerah seperti mana di Malaysia. Terdapat pelbagai pertubuhan yang dilantik sebagai nazir wakaf dan mereka boleh melepasi sempadan antara negeri atau daerah kerana pengawal selia disana berpusat di satu badan sahaja iaitu Badan Wakaf Indonesia. Berbeza dengan Malaysia semua tadbir urus wakaf berpusat di negeri masing-masing dan berbeza. Di indonesia juga mempunyai satu badan yang ditubuhkan bagi merealisasikan amalan wakaf dengan melibatkan usahawan serta korporat iaitu Wakafpreneur Indonesia. Badan ini merupakan satu pertubuhan yang ditubuhkan bawah Akrom Foundation dengan kelulusan yang diberikan oleh Badan Wakaf Indonesia (BWI) dan secara tidak langsung pertubuhan ini diberikan mandat sebagai nazir wakaf di Indonesia. Idea wakaf yang diilhamkan ini adalah gabungan antara model wakaf dengan perniagaan berbentuk amal untuk di realisasikan demi kepentingan ummah di Indonesia.

Makalah sudah dipublikasikan di Asian Journal of Civilizations, berikut link nya:

http://ajocs.com/index.php/ajocs/article/view/69/52


PENYATAAN MASALAH

Menurut Mahmood et al., (2017), antara cabaran yang dilalui oleh pengurusan wakaf di Malaysia adalah kekurangan dana bagi membangunkan harta wakaf yang menyebabkan terbantutnya projek yang dirancang mengakibatkan manfaat wakaf kepada masyarakat juga akan terkesan. Oleh itu, harta wakaf perlu dikembangkan supaya ianya mampan dan dapat diagihkan secara berterusan tanpa menurunkan susut nilai harta wakaf itu sendiri. Mohd Ali, (2019) menyatakan bahawa keperluan untuk mempelbagai jenis intsrumen wakaf mempunyai hikmah tersendiri kerana dapat mengekal dan memelihara kedudukan harta wakaf malah dapat mengagihkan manfaat kepada orang ramai secara berterusan.

Langkah Indonesia memperkasa wakafpreneur menarik untuk diteladani. Ini kerana konsep keusahawanan berasaskan wakaf membuka dimensi baru dalam pengurusan wakaf. Pelaksanaan wakaf korporat oleh Jcorp di Malaysia juga menarik. Apakah wakaf korporat dan wakafpreneur ini konsep yang sama atau bagaimana. Secara konteksnya wakafpreneur dan wakaf korporat adalah dua dimensi wakaf yang berbaza. Namun keduanya juga ada ruang-ruang persamaaan yang perlu diteliti bagi mengenalpasti konsep yang diaplikasikan ini.


SOROTAN LITERATUR

Konsep Wakaf:
Menurut Ibnu Madzur, (1990) perkataan asal wakaf berasal dari bahasa Arab iaitu waqf dengan kata terbitan masdar dengan maksudnya berhenti. Menurut Kamus Besar Bahasa Melayu oleh Safarwan, (1995) wakaf merujuk kepada amalan pemberian harta atau tanah bagi tujuan manfaat agama seperti pemberian harta untuk membangunkan tanah perkuburan, masjid, surau dan madrasah yang dapat dimanfaatkan oleh semua orang.

Wakaf Dalam Perspektif Bisnes:
Di Malaysia, wakaf yang melibatkan entiti perniagaan dikenali sebagai wakaf korporat. Menurut Magda Ismail, (2013) wakaf korporat merujuk kepada penahanan hak harta yang dimiliki oleh individu, syarikat, perbadanan, organisasi atau institusi dalam bentuk tunai, saham, keuntungan dan dividen yang diperolehi untuk diagihkan kepada mashlahat ummah secara berterusan dengan empat ciri yang ditetapkan oleh Mohd Ramli dan Jalil, (2013) iaitu penubuhan dan pengurusan aset wakaf, penyaluran manfaat wakaf, pewakaf yang terdiri daripada entiti korporat, dan juga penglibatan entiti korporat secara bersendirian ataupun dengan kerjasama pihak-pihak lain. Terdapat juga satu badan bukan kerajaan atau Non-governmental Organization (NGO) di selatan tanah air yang menubuhkan Pertubuhan Perniagaan Ekonomi Muslim Negeri Johor (PEMJ) bagi tujuan yang hampir sama iaitu bentuk inisiatif yang menggabungkan perniagaan atau keusahawanan dengan nilai Islam iaitu amalan berkebajikan dalam ekosistem produk atau perkhidmatan orang muslim dengan merancakkan kempen Buy Muslim First (BMF).

Di Indonesia, instrumen wakaf yang menghubungkan antara perniagaan dan wakaf dikenali sebagai wakaf preneur. Anshori, (2018) menerangkan wakaf preneur merupakan satu amalan berwakaf atau penahanan harta wakaf termasuk wakaf tunai yang memberi manfaat kepada ekonomi seperti pertanian, perlombongan, harta tanah, bangunan pejabat, hotel, restoran, dan sebagainya. Imam Nur Aziz, (2019) pernah mengeluarkan pendapat dalam artikel laman web Depok, Gatra.com tentang definisi wakafpreneur bermaksud gabungan amalan wakaf dengan kegiatan perniagaan yang berkebolehan untuk menjana pendapatan secara produktif bagi dana tertentu untuk kemaslahat ummah. Dia menyatakan selama ini entiti perniagaan hanya diukur melalui penjanaan keuntungan semata-mata tetapi dimasa ini, keberhasilan perniagaan juga diambil kira berapa banyak harta yang diwakafkan serta dijadikan dasar untuk menggerakkan usahawan yang mempunyai sifat berwakaf.

Aplikasi dan Peraturan Wakaf Di Indonesia:
Bagi memudahkan kefahaman keadaan operasi wakaf di Indonesia, Tuti Zakiyah, (2019) ada menjelaskan tentang aplikasi dan peraturan wakaf di Indonesia dengan menghuraikan tentang profil, tugas dan kuasa yang di tetapkan oleh kerajaan Indonesia seperti berikut:

a. Profil Badan Wakaf Indonesia (BWI).
Badan ini ditubuhkan berdasarkan mandat yang diterima seperti yang dijelaskan dalam undang-undang nomor 41 tahun 2004 tentang wakaf. Tertubuhnya institusi BWI, seperti yang dijelaskan dalam artikel 47, adalah untuk promosi dan pengembangan wakaf di Indonesia. Melalui Keputusan Presiden No. 75 / M pada tahun 2007, institusi ini ditubuhkan di Jakarta, Indonesia pada 13 Julai 2007 dan merupakan institusi bergerak secara bebas untuk mengembangkan wakaf di Indonesia yang melaksanakan tugasnya agar bebas dari pengaruh kuasa dan bertanggung jawab kepada masyarakat. Badan pelaksana merupakan unsur pelaksanaan tugas, sedangkan dewan pertimbangan adalah penyelia yang menjalankan tugas BWI. Jumlah anggota BWI terdiri dari sekurang-kurangnya 20 orang dan maksimum keanggotan adalah 30 orang yang berasal dari kalangan masyarakat. (Artikel 51-53, UU No.41 / 2004). Keanggotaan BWI dilantik dan diberhentikan oleh presiden. Keanggotaan perwekilan BWI dilantik dan diberhentikan oleh Dewan Wakaf Indonesia. Keanggotaan Lembaga Wakaf Indonesia dilantik selama tiga tahun dan boleh dilantik semula untuk sekali. Untuk pertama kalinya, pelantikan anggota BWI diusulkan kepada presiden melalui menteri. Mencadangkan pelantikan keanggotaan BWI kepada presiden untuk dilaksanakan lebih lanjut oleh BWI. (Pasal 55,56,57, UU No.41/2004).


b. Tugas dan Kuasa Berdasarkan UU No. 41/2004
Pasal 49 Ayat 1 BWI mempunyai tugas dan kuasa sebagai berikut:
i. Memberi panduan kepada Nazir dalam mengurus dan mengembangkan aset wakaf.
ii. Menguruskan dan mengembangkan aset wakaf pada skala nasional dan antarabangsa.
iii. Memberi kelulusan dan kebenaran atau perubahan dalam peruntukan dan status harta wakaf.
iv. Berhenti menggantikan Nazir.
v. Beri kelulusan keatas pertukaran aset wakaf.
vi. Memberi kemudahan dan pertimbangan kepada pemerintah dalam merangka dasar dalam bidang wakaf.

Secara ringkasnya, dengan termaktubnya UU No. 41/2004, maka nazir yang dilantik ini diberi peranan untuk menjaga, mengelola dan mengagihkan aset wakaf di Indonesia sebagai mana keterangan di bawah:
i. Menjaga-Untuk menjaga keaslian harta wakaf supaya kekal fizikalnya, tidak susut ataupun hilang.
ii. Mengelola-Dengan pengurusan sistematik, pakar dan telus maka aset wakaf ini dapat dikembangkan agar lebih produktif untuk maslahat ummah.
iii. Pengagihan- Segala aset yang dikembangkan, hasil dari manfaat ini disalurkan kepada mauquf alaihi (penerima manfaat wakaf atau benefeciaries).

Rentetan dari peraturan UU No.41/2004, pada tahun 2018 dikeluarkan satu panduan yang dinamakan sebagai Waqf Core Principles (WCP) dengan 29 prinsip yang diusahakan oleh Bank Indonesia dengan kerjasama dengan Badan Wakaf Indonesia dan Institut Riset dan Pelatihan Islam Bank Pembangunan Islam (IRTI-IsDB) bagi menyediakan penjelasan mengenai posisi dan peranan sistem kawalan dan pengelolaan wakaf dalam program pembangunan ekonomi. Ini juga sebagai panduan kepada nazir atau sesiapa yang berkenaan untuk mengikut panduan yang ada agar operasi dan sistem wakaf lebih tersusun. Dalam memastikan keaslian aset wakaf agar dapat diurus dan disuburkan secara produktif, maka lahirnya pendapat daripada beberapa golongan intelektual berbincang untuk menubuhkan satu institusi yang dikenali sebagai Wakafpreneur Institute yang mempunyai peranan bisnes dan pembangunan keusahawanan untuk memastikan aset wakaf dapat dibangunkan dengan produktif dan inovasi.

METODOLOGI KAJIAN
Kajian menggunakan kaedah temubual bagi mendapatkan data utama. Penelitian terhadap dokumen dan maklumat web turut dilakukan bagi memperkemas data yang diperoleh.
Di antara objektif utama kajian ini ialah; pertama, untuk menganalisa konsep wakaf preneur yang dijalankan di Indonesia, kedua, membincangkan model wakaf preneur, ketiga, jenis manfaat yang diperolehi dari instrumen wakaf preneur di Indonesia. Penilitian yang digunakan adalah secara kajian literatur, profil penubuhan, laman web dan sumber maklumat sekunder. Pelbagai data yang diperoleh kemudian dianalisis secara analisis kandungan dalam melihat perbezaan dan pro kontra kedua-dua konsep wakaf ini.

DAPATAN
Model wakaf preneur yang dijalankan di Indonesia dapat memberikan suntikan dana bagi menjalankan operasi perniagaan kepada usahawan-usahawan di Indonesia menerusi kelas virtual secara on-line, rekrut usahawan baharu, menanggung sewaan aplikasi zoom secara tahunan untuk dimanfaatkan oleh usahawan yang lain tanpa cas terselindung, dan sumbangan kebajikan kepada korporat dan usahawan dalam bentuk makanan dan set PPE semasa pandemik Covid-19.

Sementara wakaf korporat di Malaysia merupakan pelaksanaan wakaf di mana sebuah entiti korporat yang menjadikan aktiviti berteraskan wakaf sebagai salah satu fungsinya. Wakaf korporat bertujuan khas untuk mengatasi kelemahan organisasi dengan memperkasakan ekonomi ummah menggunakan institusi wakaf warisan Islam. Wakaf Korporat boleh bertindak sebagai sebuah institusi berasaskan komuniti atau community-driven yang menggerakkan sumber-sumber komuniti untuk menjadi peneraju utama menjayakan bisnes mapan milik komuniti.
Antara faktor-faktor kritikal yang menjadi pra-syarat kepada kejayaan Wakaf Korporat adalah penubuhannya sebagai organisasi bermatlamatkan bisnes sepenuhnya. Struktur korporat dan sistem pengurusannya, menggunapakai amalan tadbir urus korporat terbaik dan diterajui oleh eksekutif berdaya keusahawanan. Organisasi Wakaf Korporat mesti beridentiti korporat dan berkuasa autonomi sepenuhnya dan menjana keupayaan ekonominya sendiri (https://awqaf.com.my).
Bagi menentukan sama ada terdapat perbezaan yang signifikan antara wakaf korporat di Malaysia dan wakafpreneur di Indonesia, satu penelitian perbandingan telah dijalankan untuk melihat perbezaan dan persamaan kedua-dua konsep ini seperti dalam rajah 1:

Rajah 1: Perbezaan Model Wakaf Koprorat Di Malaysia Dan Wakafpreneur Di Indonesia

Ciri-ciri Penerangan
Wakaf Korporat di Malaysia Wakaf Preneur di Indonesia
Definisi Harta yang di wakafkan oleh pewakaf yang terdiri daripada syarikat, perbadanan, organisasi atau institusi seperti wang tunai, saham, keuntungan dan dividen untuk dimanfaatkan oleh semua ummah. Harta yang di wakafkan oleh pewakaf yang terdiri daripada syarikat, perbadanan, organisasi atau institusi dan individu seperti wang tunai, saham, keuntungan dan dividen untuk dimanfaatkan oleh entiti korporat dan usahawan.
Penubuhan dan Pengurusan Aset Wakaf Aset wakaf berupa aset kewangan seperti wang tunai dan saham yang ditubuhkan dan diuruskan oleh entiti korporat. Aset wakaf berupa aset kewangan seperti wang tunai dan saham yang ditubuhkan dan diuruskan oleh entiti korporat.
Penyaluran Manfaat Wakaf Pewakaf iaitu entiti korporat boleh menjadi penerima tunggal atau sebahagian daripada penerima aset wakaf.. Selain itu, penerima manfaat wakaf juga diagihkan kepada semua orang tidak mengira bangsa, agama dan golongan tertentu. Pewakaf iaitu entiti korporat boleh menjadi penerima tunggal atau sebahagian daripada penerima aset wakaf.. Selain itu, penerima manfaat wakaf juga diagihkan hanya kepada entiti korporat yang lain dan usahawan-usahawan yang berkelayakan.
Pengamalan Tadbirurus Korporat Pengamalan etika tadbirurus korporat seperti akauntabiliti, transparensi dan professionalisma. Laporan kewangan tahunan perlu disediakan. Pengamalan etika bukan tadbirurus korporat.
Pematuhan Undang-Undang Negara dan Shariah Penubuhan dan pengurusan wakaf mestilah berasaskan perundangan negara dan mematuhi Shariah. Penubuhan dan pengurusan wakaf mestilah berasaskan perundangan negara dan mematuhi Shariah.
Pengawal Selia Majlis Agama Islam Negeri seluruh Malaysia mengikut tempat penubuhan. Badan Wakaf Indonesia


Dalam rajah 1 menunjukkan terdapat perbezaan antara wakaf korporat dan wakafpreneur iaitu dari segi kaedah perwakafan dan manfaatnya tetapi niat asalnya adalah melestarikan dana sedia ada untuk mendapatkan keuntungan agar dapat diagihkan sebagai manfaat kepada penerimanya. Konsep wakaf korporat ialah satu ikhtiar atau inisiatif syarikat atau entiti perniagaan untuk mewakafkan sebahagian aset milikannya supaya mendapat keuntungan demi menjaga kemampanan tabungan dana untuk diagihkan kepada penerima manfaat. Manakala wakafprenur pula mendapatkan sebahagian dana daripada mana-mana badan korporat supaya dapat diniagakan dan mengembangkan dana tabungan untuk diagihkan kepada penerima manfaat khusunya kepada golongan usahawan dan peniaga tertentu.

KESIMPULAN

Berdasarkan kepada dapatan kajian ini, jelas kepada kita bahawa tadbir urus wakaf di Malaysia dan Indonesia mempunyai persamaan dan perbezaan. Persamaan utama adalah dari aspek perundangan dan pematuhan syariah. Namun aspek kawal selia yang yang lain menunjukkan ada sedikit perbezaan. Wakaf korporat bersifat sesuatu yang lebih besar sementara wakafprenuer pada tingkat menggalakkan komuniti terlibat dengan keusahawan.

Oleh itu, setiap individu dan setiap institusi Islam harus berganding bahu selangkah kehadapan untuk merealisasikan tanggungjawab sosial ini menerusi amalan berwakaf (Sabri et al., 2015). Bagi merealisasikan wakaf yang lebih produktif dan iInovasi di era ekonomi digital, Imam Nur Azis pernah membentangkan idea 5C di global waqf conference ke 7 di Malaysia iaitu kempen (campaign), cipta (create), tukar (convert), kompeten (competent), dan mematuhi (comply) (Syawal, 2019). Konsep ini menerangkan tentang kempen atau meningkatkan literasi wakaf generasi muda melalui dalam talian dan luar talian, mencipta iaitu dengan membuat bootcamp untuk melatih mereka memiliki prototaip produk inovasi, tukar atau mengubah pelbagai potensi ekonomi yang belum dikurniakan wakaf dan menghasilkan aset, membangun nazir atau pengelola institusi wakaf yang produktif untuk menjadi lebih profesional dan amanah, keseluruhan rangkaian kemajuan wakaf mesti dilaksanakan mengikut ketetapan peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.

PENGHARGAAN

Ucapan terima kasih diucapkan kepada pihak Wakafpreneur khusunya kepada Imam Nur Azis, Pesuruhjaya BWI dan merangkap Pembina bagi Pengurusan Wakafpreneur kerana memberi kebenaran dalam penghasilan dan menjayakan penulisan ini.


RUJUKAN

Abdul Rahim, A. R. and Goddard, A. R. (1998) ‘“An interpretive inquiry of accounting practices in religious organisations in Malaysia – emergent theoretical perspectives”’, Financial Accountability and Management, 14(3), pp. 183–202.
Amuda, Y. J. (2013) ‘“Empowerment of Nigerian Muslim households through waqf, zakat, sadaqat and public funding”’, International Journal of Trade, Economics and Finance, 4(6), pp. 419–424.
Anshori, I. (2018) ‘Peran dan Manfaat Wakaf dalam Pengembangan Pendidikan Islam (Studi Kasus di Madrasah Tsanawiyah, Pesantren al Andalusia Caringin Sukabumi Jawa Barat Indonesia)’, Jurnal Tahdzibi: Manajemen Pendidikan Islam, 3(1), pp. 27–38. doi: 10.24853/tahdzibi.3.1.27-38.
Ibnu Madzur (1990) Lisan al-Arab. Dar al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut.
Imam Nur Aziz (2019) Wakafpreneur, Gerakan Bangkitkan Wakaf Indonesia, Gatra.com. Available at: https://www.gatra.com/detail/news/444907/ekonomi/wakafpreneur-gerakan-bangkitkan-wakaf-indonesia.
Ismail, C. Z., Muda, S. and Hanafiah, N. J. (2014) ‘“Challengers of prospects of cash waqf development in Malaysia”’, Journal of Basic and Applied, Scientific Research, 4(2), pp. 340–348.
Latiff, A. Z. et al. (2010) ‘Pengurusan harta wakaf di Malaysia: Cabaran dan potensi masa depan’, Jurnal Akademik UiTM Johor, 5, pp. 1–31.
Magda Ismail, A. M. (2013) ‘Corporate Waqf And Its Role In The Different Societies’, in The 2nd International Conference on Islamic Economics and Economies of the OIC Countries (ICIE 2013). Kuala Lumpur.
Mahamood, S. M. et al. (2007) ‘Konsep Wakaf sebagai Instrumen Pembangunan Harta Tanah di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI)’, Jurnal Pengurusan JAWHAR, 1(2), pp. 1–32.
Mahmood, R. H. et al. (2017) ‘Pengurusan Wakaf Di Malaysia: Isu Dan Cabaran’, 4th International Conference on Management and Muamalah 2017 (ICoMM 2017), 2017(ICoMM), pp. 43–51. Available at: http://conference.kuis.edu.my/icomm/4th/eproceedings/IC 005.pdf.
Mohd Ali, M. don (2019) ‘Teori Wakaf , Kepelbagaian dan Contoh Amalan di Malaysia’, Jurnal Pengajian Umum Asia Tenggara, 20, pp. 24–39. Available at: file:///C:/Users/User/Downloads/35192-110205-6-PB (1).pdf.
Mohd Ramli, A. and Jalil, A. (2013) ‘Funding Higher Education In Malaysia: Corporate Waqf Model, Waqf Workshop: Contemporary Role of Higher Education’, Alor Star: Al-Bukhari International University.
Sabri, H. et al. (2015) ‘Sumbangan Manfaat Wakaf Terhadap Pembangunan Ummah Di Malaysia: Satu Analisis Dalam Pengurusan Johor Corporation (Jcorp)-Waqaf an-Nur Corporation Berhad (Wancorp)’, 2ndINTERNATIONAL RESEARCH MANAGEMENT & INNOVATION CONFERENCE (IRMIC 2015), (August), pp. 26–27.
Safarwan, Z. A. (1995) Kamus Besar Bahasa Melayu. Utusan Publications.
Syawal, R. (2019) Strategi 5C untuk perkembangan inovasi wakaf generasi milenial, Sharianews.com.
Tuti Zakiyah (2019) ‘Optimalisasi wakaf di Indonesia’, Baabu Al-Ilmi, 4(1), pp. 120–143. Available at: https://www.researchgate.net/publication/335863158_OPTIMALISASI_WAKAF_DI_INDONESIA.
Web AWQAF, https://awqaf.com.my/info-awqaf/waqaf-korporat/


Mohamad Saufee Anuar (corresponding author)
Waqaf An-Nur Corporation Berhad,
Lot 1B, Podium 1
Menara Ansar, 65 Jalan Trus
80000 Johor Bahru, Johor.
E-Mail: mohamadsaufee7588@yahoo.com

Dr. Mohd Sollehudin Shuib
Islamic Business
UUM College of Business
E-Mail: sollehudin@uum.edu.my

Imam Nur Azis
Pengasas
Wakafpreneur Institute
Serta mmerangkap sebagai
Pesuruhjaya Badan Wakaf Indonesia
E-Mail: imamnur@gmail.com

Leave a comment

search previous next tag category expand menu location phone mail time cart zoom edit close